Jumaat, 16 Oktober 2009

Muhammad Dalam Bible (5)


BUKTI LIMA: 
Peristiwa di bumi Arab dan Penghijrahan ke Tema

Di dalam buku Isaiah (Yesaya) ayat 13 hingga 15 disebut bahawa sampai satu masa bumi Arab akan dikunjungi oleh orang yang melarikan diri dari peperangan dan meminta pertolongan. Mengikut terjemahan Bible Indonesia; Al-Kitab (1993) terbitan Lembaga Al-Kitab Indonesia disebutkan;


              Ucapan Ilahi terhadap Arabia,Di belukar di Arabia kamu akan bermalam,
Hai kafilah-kafilah orang Dedan! Hai penduduk tanah Tema, keluarlah, Bawalah air kepada orang yang haus, Pergilah, sambutlah orang pelarian dengan roti. Sebab mereka melarikan diri terhadap perang.
(Yesaya 13-15)


Sebenarnya, ayat ini menceritakan kejadian yang berlaku di bumi Arab di mana golongan manusia ditindas sehingga menyebabkan mereka terpaksa berhijrah bagi mendapatkan pertolongan di bumi Tema.

Mengikut J. Hastings di dalam Dictionary of the Bible pada halaman 897, Tema adalah salah satu seorang anak Nabi Ismail. Justeru, kisah ini yang wujud di dalam Bible berkait rapat dengan keturunan Nabi Ismail di bumi Arab. Beliau menyebut, Tema juga merupakan nama sebuah tempat yang pada hari ini terletak di sebelah utara Madinah di bahagian barat bumi Arab.  Ayat ini juga sesuai dengan kisah penghijrahan Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya ke Madinah selepas ditindas dengan kejam oleh golongan Quraisy di bumi Mekah selama 13 tahun. Manakala kehidupan di Madinah, Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya mendapat bantuan dan pembelaan sehingga akhirnya tertegak sebuah negara Islam yang berdaulat di sana. 

Kajian yang dilakukan oleh J. Hastings ini menampakkan kaitan antara ayat ini dengan penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah. Sekiranya cerita ini disandarkan kepada kisah Nabi Isa, ia adalah tidak benar kerana Nabi Isa tidak pernah berhijrah keluar ke tanah Arab terutamanya di utara Madinah. Justeru, ayat ini amat bertepatan dengan dengan sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad yang berhijrah meminta pertolongan penduduk Madinah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PENGIKUT TOK AYAH